Ahad, 21 Disember 2014

Hukum Sambutan Maulidur Rasul

Hukum Sambutan Maulidur Rasul
ﺑِﺴۡﻢِ ﭐﻟﻠﻪِ ﭐﻟﺮَّﺣۡﻤَـٰﻦِ ﭐﻟﺮَّﺣِﻴﻢِ
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺻَﻞِّ ﻭَﺳَﻠِّﻢْ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah
untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir
zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Dengan
mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan
cinta kasih kepadanya serta mengenang,
menghargai serta mengambil iktibar kisah suka
duka perjuangannya.
.
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus
selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur
pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar
syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada
unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran
pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan
bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah
dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam ini telah dilakukan
sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat.
Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan
ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Sa `id Kaukabri
ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (l. 549 H. w.630
H.), penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus
berkembang sehinggalah sekarang.
.
Menurut Imam Al-Suyuthi tercatat sebagai raja
pertama yang memperingati hari kelahiran
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam ini dengan
perayaan yang meriah luar biasa. Tidak kurang
dari 300.000 dinar beliau keluarkan dengan ikhlas
untuk bersedekah pada hari peringatan maulid
Nabi atau juga disebut milad Nabi.
.
Imam Al-Hafidz Ibnu Wajih menyusun kitab
maulid yang berjudul “Al-Tanwir fi Maulidi al-
Basyir al-Nadzir” . Konon kitab ini adalah kitab
maulid pertama yang disusun oleh ulama.
.
.
Pendapat Ulama dan Mengenai Perayaan
Maulidur Rasul
Undang-undang perayaan maulid telah menjadi
topik perdebatan para ulama sejak lama dalam
sejarah Islam, iaitu antara kalangan yang
membenarkan dan yang melarangnya kerana
dianggap bid’ah .
.
Untuk lebih jelas mengenai duduk persoalan
undang-undang maulid ini, ada baiknya kita
mentelaah sejarah pemikiran Islam tentang
peringatan maulid ini dari pendapat para ulama
terdahulu. Tentu saja tulisan ini tidak
mengandungi semua pendapat ulama Islam, tetapi
cukup ulama dominan yang boleh dijadikan
rujukan untuk membuat sebuah peta pemikiran.
.
Di antara ulamak besar yang mengatakan
bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah
harus dan digalakkan ialah;
.
1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya
`Siratun Nabawiyah ’. Antara lain beliau
menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa
berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Berdiri
tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik
dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik
cendikiawan lainnya.”
.
2. Imam Jalaluddin As-Sayut i lebih jauh
menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi
Syarhisy Syamail’, menyatakan; “Apabila
diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah
rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat
mengawal dan mengawasi tempat tersebut
sampai upacara selesai dan semua hadhirin
mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa
taala.”
.
3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani
(1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian
Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa,
“Dapat pahala bagi orang yang berdiri yang
adalah niat mereka membesarkan Nabi
Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
4. Al-Hafidz al-Iraqi dalam kitab Syarh Mawahib
Ladunniyah mengatakan: “Melakukan perayaan,
memberi makan orang disunnahkan tiap waktu,
apalagi kalau itu disertai dengan rasa gembira
dan senang dengan kehadiran Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam pada hari dan bulan
itu. Tidaklah sesuatu yang bid’ah selalu makruh
dan dilarang, banyak sekali bid’ah yang
disunnahkan dan bahkan diwajibkan.”
.
5. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bid’ah
yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga
memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam.”
.
6. Imam Suyuti berkata: “Menurut saya asal
perayaan maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam,
iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan
kisah-kisah teladan Nabi Shalallahu ‘alaihi
wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan
hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang
dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang.
Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu
tergolong bid’ah hasanah. Orang yang
melakukannya diberi pahala kerana
mengagungkan darjat Nabi Shalallahu ‘alaihi
wasalam, menampakkan suka cita dan
kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad
Shalallahu ‘alaihi wasalam yang mulia.”
.
7. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf
berkata: “Menghidupkan malam maulid nabi dan
malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah
dengan memperbanyak zikir kepada Allah,
memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat
yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di alam
dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan
cara yang santun dan khusyuk’ dan menjauhi hal-
hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan
bid’ah dan kemungkaran. Dan termasuk cara
bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah,
menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak
dilakukan pada zaman Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasalam dan tidak juga pada masa salaf
terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk
sunnah hasanah .”
.
8. Pendapat Abu Shamah (guru Imam Nawawi)
menyatakan: “Termasuk yang hal baru yang baik
dilakukan pada zaman ini adalah apa yang
dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari
kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam
dengan memberi sedekah dan kebaikan,
menunjukkan rasa gembira dan bahagia,
sesungguhnya itu semua ini yang membantu fakir
miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam dan penghormatan
kepada beliau, begitu juga merupakan bentuk
syukur kepada Allah atas diutusnya Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam kepada seluruh alam
semesta.”
.
9. Pendapat Ibnu Taymiyah
.
Ibnu Taymiyah dalam kitab Iqtidla’-us-Syirat al-
Mustaqim (2/83-85) mengatakan: “Rasululullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam telah melakukan
kejadian-kejadian penting dalam sejarah beliau,
seperti khutbah-khutbah dan perjanjian-perjanjian
beliau pada hari Badar, Hunain, Khandaq,
pembukaan Makkah, Hijrah, Masuk Madinah.
Tidak seharusnya hari-hari itu dijadikan hari raya,
kerana yang melakukan seperti itu adalah umat
Nasrani atau Yahudi yang menjadikan semua
kejadian Isa hari raya. Hari raya merupakan
sebahagian dari syariat, apa yang disyariatkan
itulah yang diikuti, kalau tidak maka telah
membuat sesuatu yang baru dalam agama. Maka
apa yang dilakukan orang memperingati maulid,
antara mengikuti tradisi Nasrani yang
memperingati kelahiran Isa, atau kerana cinta
Rasulullah. Allah mungkin akan memberi pahala
atas kecintaan dan ijtihad itu, tapi tidak atas
bid’ah dengan menjadikan maulid nabi sebagai
hari raya. Orang-orang salaf tidak melakukan itu
padahal mereka lebih mencintai rasul.”
.
Namun dalam bahagian lain di kitab tersebut,
Ibnu Taymiyah menambah: “Merayakan maulid
dan menjadikannya sebagai kegiatan rutin dalam
setahun yang telah dilakukan oleh orang-orang,
akan mendapatkan pahala yang besar sebab
tujuannya baik dan mengagungkan Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam. Seperti yang telah
saya jelaskan, kadang-kadang sesuatu itu baik
bagi satu kalangan orang, padahal itu dianggap
kurang baik oleh kalangan mu’min yang ketat.
Suatu hari pernah ditanya kepada Imam Ahmad
tentang tindakan salah seorang pegawai yang
menyedekahkan wang 100 dinar untuk membuat
mushaf Quran, beliau menjawab: “Biarkan saja,
itu cara terbaik bagi dia untuk menyedekahkan
emasnya”. Padahal mazhab Imam Ahmad
mengatakan bahawa menghiasi Qur’an hukumnya
makruh. Tujuan Imam Ahmad adalah bahawa
pekerjaan itu ada maslahah dan ada
mafsadahnya juga, maka dimakruhkan, akan
tetapi apabila tidak dibenarkan, mereka itu akan
membelanjakan wangnya untuk kerosakan, seperti
membeli buku porno dan sebagainya.”
.
Fahamilah dengan cerdas hakikat agama, lihatlah
permasalahan dalam setiap pekerjaan dan
kerosakannya, sehingga kamu mengetahui
peringkat kebaikan dan keburukan, sehingga pada
saat terdesak anda boleh memilih mana yang
paling penting, inilah hakikat ilmu yang diajarkan
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.
Membezakan jenis kebaikan, jenis keburukan dan
jenis dalil itu lebih mudah. Sedangkan
mengetahui peringkat kebaikan, peringkat
keburukan dan peringkat dalil itu pekerjaan para
ulama.
.
.
Seterusnya Ibnu Taymiyah menjelaskan peringkat
amal soleh itu ada tiga.
.
Pertama, Amal soleh yang masyru’ (diajarkan)
dan di dalamnya tidak ada kemakruhan
sedikitpun. Inilah sunnah murni dan hakiki yang
wajib dipelajari dan diajarkan dan inilah amalan
orang soleh terdahulu dari zaman muhajirin dan
anshor dan pengikutnya.
.
Kedua, Amal soleh dari satu sisi, atau sebahagian
besar sisinya mengandungi amal soleh seperti
tujuannya misalnya, atau mungkin amal itu
mengandungi pekerjaan baik. Amalan-amalan ini
banyak sekali ditemui pada orang-orang yang
mengaku golongan agama dan ibadah dan dari
orang-orang awam juga. Mereka itu lebih baik
dari orang yang sama sekali tidak melakukan
amal soleh, lebih baik juga daripada orang yang
tidak beramal sama sekali dan lebih baik daripada
orang yang amalannya dosa seperti kafir, dusta,
khianat, dan bodoh.
.
Orang yang beribadah dengan ibadah yang
mengandungi larangan seperti berpuasa lebih
sehari tanpa buka (wisal), meninggalkan
kenikmatan tertentu (mubah yang tidak dilarang),
atau menghidupkan malam tertentu yang tidak
perlu dikhususkan seperti malam pertama bulan
Rejab, kadang-kadang mereka itu lebih baik dari
pada orang pengangguran yang malas beribadah
dan melakukan ketaatan agama. Bahkan ramai
orang yang membenci amalan-amalan seperti ini,
ternyata mereka itu kedekut dalam melakukan
ibadah, dalam mengamalkan ilmu, beramal soleh,
tidak suka kepada amalan dan tidak simpati
kepadanya, tetapi tidak juga menghantarkannya
kepada kebaikan, misalnya menggunakan
kemampuannya untuk kebaikan. Mereka ini
tingkah lakunya meninggalkan hal yang masyru’
(dianjurkan agama) dan yang tidak
masyru’ (yang tidak dianjurkan agama), akan
tetapi sebutan dan perkatannya menentang yang
tidak masyru’ .
.
Ketiga, Amalan yang sama sekali tidak
mengandungi kebaikan, kerana meninggalkan
kebaikan atau mengandungi perkara yang dilarang
agama. (Ini hukumnya jelas).
.
.
10. Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitab Fatawa
Kubro menjelaskan: “Asal melakukan maulid
adalah bid’ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf
dalam tiga abad pertama, akan tetapi di
dalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga
kesalahan-kesalahan. Sesiapa melakukan
kebaikan di dalamnya dan menjauhi kesalahan-
kesalahan, maka ia telah melakukan bid’ah yang
baik (bid’ah hasanah). Saya telah melihat
landasan yang kuat dalam hadis sahih Bukhari
dan Muslim bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi
wasalam datang ke Madinah, beliau mendapati
orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka
beliau bertanya kepada mereka, dan mereka
menjawab: “Itu hari di mana Allah
menenggelamkan Firaun, menyelamatkan Musa,
kami berpuasa untuk mensyukuri itu semua. Dari
situ dapat diambil kesimpulan bahawa boleh
melakukan syukur pada hari tertentu di situ
berlaku nikmat yang besar atau terjadi
penyelamatan dari mara bahaya dan dilakukan
itu tiap bertepatan pada hari itu. Syukur boleh
dilakukan dengan pelbagai macam ibadah,
seperti sujud, puasa, sedekah, membaca al-
Quran dll. Apa nikmat yang paling besar selain
kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam
di muka bumi ini. Maka sebaiknya merayakan
maulid dengan melakukan syukur berupa
membaca Qur’an, memberi makan fakir miskin,
menceritakan keutamaan dan kebaikan
Rauslullah yang boleh menggerakkan hati untuk
berbuat baik dan amal soleh. Adapun yang
dilakukan dengan mendengar muzik dan bermain
alat muzik, maka hukumnya dikembalikan
kepada hukum pekerjaan itu, kalau itu mubah
maka hukumnya mubah, kalau itu haram maka
hukumnya haram dan kalau itu kurang baik
maka begitu seterusnya.”
.
11. Seorang ulama Turkmenistan Mubasshir al-
Thirazi mengatakan: “Mengadakan perayaan
maulid Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi
wasalam saat ini boleh jadi merupakan kewajipan
yang perlu kita laksanakan, untuk mengatasi
perayaan-perayaan kotor yang sekarang ini
sangat banyak kita dapati di masyarakat.”
.
.
Dalil-dalil yang membenarkan melakukan
perayaan Maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi
wasalam:
1. Anjuran bergembira atas rahmat dan kurnia
Allah kepada kita. Allah SWT berfirman:
ﻗُﻞْ ﺑِﻔَﻀْﻞِ ﺍﻟﻠّﻪِ ﻭَﺑِﺮَﺣْﻤَﺘِﻪِ ﻓَﺒِﺬَﻟِﻚَ ﻓَﻠْﻴَﻔْﺮَﺣُﻮﺍْ ﻫُﻮَ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِّﻤَّﺎ
ﻳَﺠْﻤَﻌُﻮﻥَ
“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-
Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira.
Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih
baik dari apa yang mereka
kumpulkan.” (QS.Yunus: 58).
.
2. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam sendiri
mensyukuri atas kelahirannya. Dalam sebuah
Hadis dinyatakan:
ﻋَﻦْ ﺃَﺑِﻲْ ﻗَﺘَﺎﺩَﺓَ ﺍﻷَﻧْﺼَﺎﺭِﻱِّ ﺭَﺿِﻲَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻨْﻪُ: ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮْﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ
ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺳُﺌِﻞَ ﻋَﻦْ ﺻَﻮْﻡِ ﺍﻟْﺈِﺛْﻨَﻴْﻦِ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﻓِﻴْﻪِ
ﻭُﻟِﺪْﺕُ ﻭَﻓِﻴْﻪِ ﺃُﻧْﺰِﻝَ ﻋَﻠَﻲَّ . ﺭﻭﺍﻩ ﻣﺴﻠﻢ
Dari Abi Qatadah al-Anshori RA sesungguhnya
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam pernah
ditanya mengenai puasa hari Isnin. Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam menjawab: “Pada hari
itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan
kepadaku.” (HR Muslim, Abud Daud, Tirmidzi,
Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu
Hibban, Ibnu Abi Syaibah dan Baghawi).
.
3. Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu
Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya
dengan sebab memerdekakan budak Tsuwaybah
sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Jika Abu
Lahab yang bukan muslim dan al-Quran jelas
mencelanya, diringankan seksanya lantaran
ungkapan kegembiraan atas kelahiran Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasalam, maka bagaimana
dengan orang yang beragama Islam yang gembira
dengan kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi
wasalam.
.
.
Kesimpulan Hukum Meraikan Maulidur Rasul
.
Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah
satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat
ibadah dan wajar diteruskan daripada
membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan
duniawi.
.
Kita juga dianjurkan untuk meningkatkan amalan-
amalan fardu dan sunat tanpa mengira masa dan
di bulan manapun di sepanjang tahun. Dalam
mengerjakan sesuatu amalan, kualiti ibadah juga
perlulah diambil kira. Niat dan keikhlasan
mempunyai pengaruh yang amat besar dalam
menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat
sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.
.
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam sendiri
dalam sebuah haditsnya pernah bersabda.
ﻋَﻦْ ﺃَﻣِﻴْﺮِ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ﺃَﺑِﻲْ ﺣَﻔْﺺٍ ﻋُﻤَﺮَ ﺑْﻦِ ﺍﻟْﺨَﻄَّﺎﺏِ ﺭَﺿِﻲَ
ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻨْﻪُ ﻗَﺎﻝَ : ﺳَﻤِﻌْﺖُ ﺭَﺳُﻮْﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ
ﻳَﻘُﻮْﻝُ : ﺇِﻧَّﻤَﺎ ﺍْﻷَﻋْﻤَﺎﻝُ ﺑِﺎﻟﻨِّﻴَّﺎﺕِ ﻭَﺇِﻧَّﻤَﺎ ﻟِﻜُﻞِّ ﺍﻣْﺮِﺉٍ ﻣَﺎ ﻧَﻮَﻯ .
ﻓَﻤَﻦْ ﻛﺎﻥ ﻫِﺠْﺮَﺗُﻪُ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟﻠﻪِ ﻭَﺭَﺳُﻮْﻟِﻪِ ﻓَﻬِﺠْﺮَﺗُﻪُ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟﻠﻪِ
ﻭَﺭَﺳُﻮْﻟِﻪِ .
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al
Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya
mendengar Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam
bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan
(amal) bergantung niatnya. Dan sesungguhnya
setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa
yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena
(ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-
Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah
dan Rasul-Nya.”
.
Niat itu akan menggambarkan keikhlasan. Kerja
yang ikhlas akan membawa kepada
kesempurnaan dan kepuasan yang seterusnya
akan menghasilkan ketenangan dunia dan akhirat.
.
Moga kita sama-sama dapat meningkatkan
amalan ibadat agar mempunyai bekalan untuk
dibawa ke perkampungan Akhirat kelak,
InsyaAllah.
.
.
ﻭﺍﻟﻠﻪ ﺃﻋﻠﻢ ﺑﺎﻟﺼﻮﺍﺏ
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
.
ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﺒﻜﻢ ﻭ ﺭﺣﻤﺔ ﺍﻟﻠﻪ ﻭ ﺑﺮﻛﺎﺗﻪ

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama